Antara artikel yang termuat dalam blog ini ialah :-

Patutkah Artis Wanita Dilarang Menyanyi, Bila Siti Nurhaliza Bertudung, Kenapa Mesti Glamor, Jika UMNO Mahu Memerintah Kelantan, Perlukah Sains dan Matematik Dalam Bahasa Melayu, Manusia Haiwan Eskapisme, Bila Poligami Dikomedikan, Kenapa Festival Filem Islam Menyepi, ... dll.

Wednesday, December 9, 2009

Penghormatan Untuk Tersasar Di Jalanmu

Oleh: Dr. Mohd Hilmi b. Abdullah
pustakahilmi@ yahoo.com
pustakahilmi.blogsport.com

Anugerah Skrin 2009 yang dianjurkan oleh stesen televisyen TV3 pada 4 Disember 2009 yang lalu telah menobatkan drama Tersasar Di Jalanmu arahan Erma Fatima sebagai drama terbaik. Saya sendiri secara peribadi tidak pernah menonton drama tersebut lantaran kesibukan tugas dan komitmen kerja, dan saya juga percaya masih ramai lagi yang belum menonton drama tersebut.

Setelah dinobatkan sebagai drama terbaik, saya percaya ramai pihak akan begitu teruja untuk menonton drama tersebut, malah mereka yang pernah menontonnya juga pasti ingin menontonnya kembali bagi menghayati mesej yang ingin disampaikan. Sesungguhnya menonton filem dan drama yang berkualiti tidak akan membosankan, malah mendatangkan kepuasan yang berganda kepada para penonton.

Justeru itu, bagi membolehkan lebih ramai rakyat negara ini menonton dan menilai drama tersebut, saya mencadangkan agar TV3, RTM, dan Astro bekerjasama menayangkan semula drama tersebut pada hari dan waktu yang berbeza. Dalam hal ini, apalah gunanya sesuatu drama itu dinobatkan sebagai Drama Terbaik jika rakyat negara ini tidak berpeluang untuk menghayati mesej-mesej murni yang tersurat dan tersirat di sebalik drama tersebut.

Penayangan drama Tersasar Di Jalanmu di ketiga-tiga stesen televisyen di atas dirasakan amat perlu memandangkan trend para penonton di negara ini yang hanya memberi fokus terhadap satu-satu stesen televisyen yang diminati sahaja. Tambahan pula, penayangan semula drama tersebut merupakan penghormatan tertinggi terhadap warga kerja produksi Tersasar Di Jalanmu, khususnya terhadap Erma Fatima sendiri yang sebelum ini pernah dikritik hebat akibat pengarahan beliau yang dikatakan lemah dalam filem Embun.

Rasanya pihak RTM tidak keberatan membenarkan hak eksklusif penayangan drama Tersasar Di Jalanmu kepada stesen-stesen televisyen yang lain. Malah, sudah sampai masanya untuk semua pihak meluangkan sedikit masa untuk duduk semeja memikirkan bagaimanakah caranya untuk kita menghargai karya-karya yang bermutu, lebih daripada hanya sekadar memberi anugerah.

Tamat
6 Disember 2009

Wednesday, November 4, 2009

Manipulasi Warna Dalam Iklan

Oleh: Dr. Mohd Hilmi b. Abdullah
pustakahilmi@ yahoo.com
pustakahilmi.blogspot.com

Satu perlawanan tinju dijadualkan berlangsung antara dua orang peninju. Seorang daripadanya memakai baju dan seluar yang berwarna oren, manakala seorang lagi memakai baju dan seluar yang berwarna kuning. Belum pun sempat perlawanan dimulakan, peninju yang memakai baju dan seluar yang berwarna kuning tiba-tiba rebah dan pengsan setelah melihat pelan komunikasi serendah 15 sen seminit.

Sekali imbas tidak ada salahnya iklan seperti di atas. Malah tidak ada mana-mana pihak pun yang boleh mengambil tindakan mahkamah ke atas pihak yang membuat, memasarkan, dan menyiarkan iklan tersebut. Hal ini kerana tidak ada mana-mana pihak pun yang boleh mendakwa bahawa warna kuning, hijau, biru, merah, dan sebagainya adalah warna eksklusif bagi mereka, lalu tidak boleh digunakan oleh pihak lain.

Namun, penonton yang melihat iklan di atas pastinya boleh mengagak pihak mana yang diwakili oleh peninju yang berbaju oren dan pihak mana pula yang dimaksudkan dengan peninju yang berbaju kuning. Hal ini kerana dalam konteks perniagaan dalam zaman moden kini, setiap syarikat mempunyai warna korporat masing-masing bagi memudahkan pelanggang mengenalpasti identiti syarikat mereka.

Oleh itu, apabila peninju berbaju kuning rebah dan pengsan, maka syarikat terbabit seolah-olah ingin memberitahu penonton bahawa produk yang ditawarkan olehnya jauh lebih baik, bermutu, menjimatkan, dan menguntungkan para pengguna berbanding produk yang ditawarkan oleh syarikat yang diwakili oleh peninju berbaju kuning tersebut.

Walaupun tidak ada undang-undang yang melarang kaedah pengiklanan seperti ini, namun tindakan syarikat yang membuat iklan tersebut dilihat melanggar etika pengiklanan yang bersih, bertanggungjawab, telus, dan adil. Tidak salah sebenarnya untuk kita menghebahkan ke seluruh dunia bahawa produk dan perkhidmatan yang kita tawarkan adalah baik, bermutu, canggih, dan sebagainya, tetapi janganlah pula kita merendah-rendahkan dan memperlekeh-lekehkan produk dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh syarikat lain.

Biarlah para pelanggan yang menentukan pilihan mereka sendiri secara adil tanpa dipengaruhi oleh tindakan provokasi negatif pihak lain. Bukankah dalam perniagaan terdapat peribahasa yang menyebut “pelanggan adalah raja” dan “pelanggan sentiasa benar”.

Berdasarkan pengamatan penulis, selain daripada iklan yang dimaksudkan di atas, terdapat satu lagi iklan yang mencuba memanipulasikan warna bagi mempengaruhi minda penonton agar menjauhkan produk yang dianggap boleh menyaingi produk-produk keluaran syarikat mereka. Namun penjelasan terhadap iklan terbabit tidak boleh dilakukan di sini kerana terlalu sensitif, termasuk melibatkan soal halal haram.

Sehubungan itu, penulis merayu kepada Kementerian Penerangan, Komunikasi, dan Kebudayaan Malaysia agar mengambil langkah yang lebih proaktif bagi membendung kaedah pengiklanan seperti ini kerana dibimbangi boleh mengundang rasa tidak puas hati pihak-pihak yang menjadi sasaran iklan-iklan tersebut.

Jika tidak dibendung dari sekarang, penulis bimbang selepas ini akan timbul lebih banyak lagi iklan yang memanipulasikan warna dan elemen-elemen lain dalam perniagaan sehingga menimbulkan cabar mencabar dan saman menyaman di mahkamah. Sedarlah kita bahawa antara ciri negara maju ialah wujudnya persaingan yang sihat dalam komuniti perniagaan di negara terbabit.

Tamat
4 Oktober 2009

Manusia Haiwan Eskapisme

Oleh : Dr. Mohd. Hilmi b. Abdullah
pustakahilmi@yahoo.com
pustakahilmi.blogspot.com

Semasa saya mula-mula membaca buku Sejarah Melayu pada tahun 1988 dahulu, saya menyampah dengan Tun Sri Lanang kerana mencampuradukkan sejarah dengan mitos. Saya menyampah kerana menganggap tindakan Tun Sri Lanang tersebut telah merosakkan Sejarah Melayu dan menyebabkan kesahihan Sejarah Melayu sebagai dokumen sejarah dipertikaikan.

Namun, apabila difikirkan semula, tindakan Tun Sri Lanang tersebut ada signifikannya yang tersendiri. Signifikan kerana mitos yang dikemukakan sesuai dengan tahap pemikiran masyarakat Melayu pada ketika itu. Malah, mitos-mitos seperti itulah sebenarnya yang diinginkan oleh masyarakat Melayu pada masa itu.

Pada masa itu, orang-orang Melayu berada dalam kesedihan setelah kalah dalam peperangan dengan Portugis. Menyedari senario itulah, Tun Sri Lanang merasakan jiwa orang-orang Melayu perlu dibangkitkan semula dan dimotivasikan untuk menentang penjajahan dan mengembalikan semula maruah orang-orang Melayu.

Namun, pada masa yang sama, orang-orang Melayu juga memerlukan hiburan, sekurang-kurangnya bagi menghilangkan sejenak kesedihan yang sedang melanda mereka ketika itu. Dalam situasi inilah mitos memainkan peranan sebagai hiburan alternatif bagi masyarakat Melayu pada masa itu. Keperluan manusia kepada mitos inilah yang dinamakan sebagai eskapisme.

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, eskapisme bermaksud : “Tindakan atau kecenderungan melarikan diri daripada kenyataan dengan menumpukan fikiran kepada sesuatu perkara lain daripada masalah yang dihadapi sebagai langkah untuk mencari ketenangan”. Manakala, Kamus Dwibahasa Bahasa Inggeris-Bahasa Malaysia pula menyatakan, eskapisme ialah : “Kegiatan yang dilakukan untuk melupakan realiti hidup yang tidak menyenangkan”.

Bagi tujuan melarikan diri daripada dunia realiti itu, manusia seringkali memerlukan sesuatu yang luar biasa, atau sesuatu yang mustahil, atau hampir mustahil untuk dicapai. Dalam hal ini, mitos berfungsi memberikan sesuatu yang sebelum ini tidak mungkin dimiliki oleh seseorang itu.

Jika dahulu mitos sesuatu kaum itu bersandarkan kepada cerita rakyat dari mulut ke mulut, termasuk cerita-cerita yang didokumenkan dalam bentuk tulisan, namun kini mitos telah memasuki era baru. Mitos dalam era sains dan teknologi ini, kini berkembang pula dalam bentuk elektronik, digital, dan audio-visual, selain daripada cerita-cerita yang digarap dalam bentuk novel.

Filem-filem seperti Terminator, Incredible Hulk, Transformers, Harry Potter, The Mummy, Narnia, Superman, Spiderman, X-Man, Pirates of The Caribbean, dan sebagainya adalah contoh-contoh terbaik mitos pada zaman moden. Melihat filem-filem seperti ini menjadikan kita berada dalam dunia yang lain, iaitu dunia yang melarikan kita daripada masalah di tempat kerja, rumahtangga, dan kehidupan seharian yang memenatkan, membosankan, dan kadang-kadang mencelarukan.

Walaupun seseorang itu tahu bahawa dia tidak mungkin boleh menjadi seperti Superman misalnya, namun khayalannya terhadap kuasa luar biasa yang dimiliki oleh Superman sekurang-kurangnya akan menjadikannya tenang buat seketika, walaupun ia mungkin juga tahu bahawa ketenangan yang dicari olehnya itu bukanlah ketenangan dalam erti kata yang sebenarnya.

Sama ada disedari atau pun tidak, eskapisme telah mempengaruhi kehidupan manusia, tidak kira apa bangsa, warna kulit, dan anutan agama mereka sekalipun. Malah, sebahagian daripada aktiviti ekonomi terhasil daripada tuntutan manusia terhadap eskapisme. Daripada filem, drama, novel, muzik, video lucah, majalah hiburan, komik, permainan video, dan sebagainya, kesemua instrumen tersebut sedikit sebanyak mempunyai kaitan dengan eskapisme.

Daripada seorang ibu tunggal yang hanya hidup di atas ihsan wang bantuan kebajikan, J. K. Rowling kini menjadi antara individu yang terkaya di dunia. Kelebihannya hanyalah satu, iaitu menggabungkan daya imaginasi yang ada pada kanak-kanak dengan keperluan eskapisme mereka melalui kuasa sihir yang luar biasa yang dimiliki oleh watak utama dalam siri novel beliau, Harry Potter.

Menyedari kuasa dan pengaruh eskapisme yang begitu kuat ke atas kehidupan manusia inilah, banyak pihak telah mengambil kesempatan mengeksploitasi eskapisme dengan cara yang tidak bermoral, menyalahi hukum syarak, dan kadang-kadang menyalahi undang-undang negara. Penagihan dadah, penyebaran video lucah, dan pertumbuhan rumah-rumah pelacuran dan pusat-pusat hiburan adalah antara instrumen eskapisme yang perlu diberi perhatian serius oleh pihak berkuasa.

Selain itu, sejak akhir-akhir ini pula terdapat pihak-pihak tertentu dalam dunia perfileman yang begitu ghairah menerbitkan filem dan drama yang berasaskan kepercayaan terhadap perkara-perkara syirik dan kuasa-kuasa luar biasa yang dimiliki oleh pengamal-pengamal syirik. Jika tidak dibendung, kita bimbang filem dan drama seperti ini boleh memesongkan akidah para penonton, khususnya kanak-kanak dan mereka yang lemah iman dan kurang pengetahuan agama.

Walau apa pun keburukan yang diakibatkan oleh eskapisme, eskapisme adalah sifat semulajadi manusia yang tidak boleh dan tidak sepatutnya dihalang, atau dianggap jelek. Apa yang perlu dilakukan ialah mengawal eskapisme agar tidak bercanggah dengan hukum syarak dan tidak berlaku secara yang keterlaluan sehingga pelakunya menjadi ketagih dan gagal melepaskan diri daripada sumpahan eskapisme.

Ketagihan terhadap eskapisme bukan sahaja mengurangkan wang di dalam saku, malah boleh menjejaskan kesihatan dan merosakkan akal fikiran. Mereka yang sudah sampai ke tahap ketagihan ini seringkali dilihat berada dalam keresahan dan kegelisahan jika keperluannya kepada eskapisme tidak dipenuhi. Akhirnya, ketenangan yang dicari bertukar menjadi penyakit yang semakin hari semakin sukar untuk diubati.

Apa pun, bagi orang Islam kita seharusnya menyedari bahawa hanya satu sahaja cara bagi mencapai ketenangan yang hakiki, iaitu dengan mengingati Allah s.w.t., sama ada melalui solat, pembacaan al-Quran, berzikir, mahu pun melalui pentaakulan terhadap penciptaan Allah di alam semesta ini.

* Penulis ialah Pensyarah di Jabatan Pengajian Islam, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Tamat
25 Julai 2009 / 3 Sya‘ban 1430

Apa Perlunya Sains dan Matematik Dalam Bahasa Melayu

Oleh : Dr. Mohd. Hilmi b. Abdullah
pustakahilmi@yahoo.com

Semasa berucap di hadapan pemimpin dan ahli parti Gerakan di Pulau Pinang selepas pembubaran parlimen baru-baru ini, Pak Lah telah memberi jaminan bahawa kerajaan akan mengkaji semula dasar pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris. Sesungguhnya kenyataan Pak Lah tersebut amat mengejutkan dan mengecewakan, sekurang-kurangnya bagi golongan Melayu elit seperti ‘aku’.

Ada pihak berhujah bahawa pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik perlu dikembalikan semula ke dalam bahasa Melayu demi maruah dan jati diri bangsa Melayu. Aku hanya ketawa mendengar hujah dangkal tersebut. Semenjak kecil lagi aku telah dilatih supaya hanya bercakap dalam bahasa Inggeris semasa di rumah. Aku diasuh agar mempercayai bahawa kebolehan bercakap dalam bahasa Inggeris merupakan penanda aras kepada kemajuan seseorang itu.

Apa tidaknya. Seseorang yang mahir dalam bahasa Inggeris akan mudah dapat kerja, mudah naik pangkat, malah boleh jadi juga mudah dapat jodoh dengan perempuan cantik. Aku ada seorang mak saudara. Kerja dia CEO di sebuah syarikat kewangan. Dia, suami, dan anak-anak, semua fasih cakap Inggeris. Dia ada sebuah banglo besar yang orang sekarang panggil villa. Mereka anak beranak selalu dinner di KFC atau Mc Donald. Selalu juga pergi melancong ke Eropah dan US.

Kepada pembela bahasa Melayu kononnya, apa lagi yang hendak kamu perjuangkan. Tahukah kamu tidak ada fakulti perubatan yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. Begitu juga dengan bidang pengajian yang berkaitan dengan sains, farmasi, dan kejuruteraan di universiti. Bidang matematik dan teknologi maklumat pun belum tentu lagi. Jadi, yakin sangatkah kamu bahawa bahasa Melayu mampu menjadi bahasa ilmu dan teknologi.

Jangan kamu berhujah bahawa Jepun, Jerman, dan Perancis mampu menjadi negara maju tanpa menggadaikan maruah dan jati diri bahasa mereka. Siapalah kita berbanding mereka itu. Bangsa Jepun contohnya, terkenal dengan sifat suka membaca dan kuat bekerja, sedangkan mengikut statistik, rakyat Malaysia hanya membaca enam halaman buku dalam setahun. Jangan silap faham, enam halaman buku, bukan enam buah buku. Jadi kalau begini, sampai bila kita mampu maju dengan bahasa sendiri.

Jerman dan Perancis tak perlulah aku jelaskan di sini. Mereka semua maju selari dengan kemajuan Britain yang menggunakan bahasa Inggeris. Mereka semua telah lama menempuh zaman Renaissance dan Revolusi Perindustrian pada ketika kita semua masih lagi berkaki ayam. Jangan lupa dengan Singapura yang menggunakan sepenuhnya bahasa Inggeris dalam urusan seharian. Di mana kita berbanding Singapura yang telah lama maju? Mampukah kita mengejar Singapura yang telah berjaya memiliki pulau Batu Putih itu?

Seperti kata mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir, kita mesti mengejar teknologi kerana teknologi sekarang ini bergerak terlalu pantas. Jika tidak, kita akan terus ketinggalan. Begitulah lebih kurang kata-kata beliau ketika mewajarkan pelaksanaan pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris tidak lama dahulu. Maknanya sekarang, kita hanya ada dua pilihan, iaitu sama ada termengah-mengah mencuba memperkasakan bahasa Melayu dan pada masa yang sama lemas dalam gelombang perkembangan teknologi, atau kita teruskan momentum yang ada sekarang dan terus memacu menuju Wawasan 2020.

Kalau akulah, aku memilih pilihan yang kedua. Aku tidak mahu menggadai-kan masa depan anak cucu aku semata-mata kerana mempertahankan ego dan angan-angan yang entah sampai bila akan tercapai. Aku lebih rela bahasa Melayu menjadi bahasa kelas kedua seperti di Singapura asalkan anak cucu aku berjaya masuk universiti, mampu mengisi jawatan penting dalam sektor awam dan swasta, mampu bersaing dengan bangsa asing dalam sektor perdagangan dan perindustrian, dan mampu menggegar dunia melalui pencapaian-pencapaian yang menakjubkan.

Aku percaya bukan aku seorang sahaja yang berfikiran seperti ini. Malah majoriti orang Melayu pun sudah tidak ambil kisah dengan apa yang akan terjadi terhadap bangsa dan bahasa Melayu. Ingat lagi tak selepas Dr. Mahathir melepaskan jawatan Perdana Menteri kepada Pak Lah, terdapat menteri yang begitu kuat mempertahankan dasar pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris ini. Apa jadi kepada menteri tersebut? Dia terus menang dalam pilihanraya umum 2004 dan terus menang dengan selesa dalam pilihanraya yang baru lalu. Siapa yang mengundi beliau kalau bukan orang Melayu?

Sekarang ini aku lihat semakin ramai orang Melayu yang bercakap dalam bahasa Inggeris (hakikatnya broken English) apabila menjawab soalan daripada wartawan. Pak-pak menteri pun nampaknya suka mencampuradukkan jawapan antara bahasa Melayu dan bahasa Inggeris, atau dalam erti kata lain bahasa rojak. Iklan-iklan dalam bahasa Inggeris pun sudah semakin banyak. Apa lagi dengan nama syarikat dan nama pertubuhan. Jadi siapa yang mahu peduli tentang nasib bahasa Melayu kalau orang Melayu sendiri pun sudah dilihat tidak berbangga dengan bahasa mereka, apatah lagi untuk mempertahankan bahasa nenek moyang mereka itu.

Aku tahu, kamu semua mengaitkan isu ini dengan identiti dan jati diri bangsa Melayu. Pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Melayu bagi kamu merupakan penanda aras kepada jati diri bangsa Melayu. Kamu selalu berhujah bahawa bahasa Melayu sudah digunakan secara meluas sebagai bahasa lingua franca pada zaman Kesultanan Melayu Melaka dahulu. Tapi itu dulu, bukan sekarang.

Dulu sultan Melayu Melaka menjadikan al-Quran dan hadith sebagai rujukan mereka dalam perundangan. Para ulama pula menjadi tempat rujukan dan mendapat nasihat. Namun kini, para pemimpin kita masih lagi berdolak dalik untuk tidak menggunapakai perlembagaan dan undang-undang warisan penjajah British. Dulu datuk nenek kita akan tanya kepada bakal menantu, sudah khatam Quran atau pun belum. Tapi kini pertanyaan lebih tertumpu kepada kerjaya, pendapatan bulanan, dan harta yang dimiliki.

Dulu masyarakat Melayu bangga dengan sukan tradisi seperti congkak, gasing, dan sepak raga. Bangga dengan tarian tradisional seperti gamelan dan zapin. Merasa megah apabila mengenakan pakaian seperti baju Melayu bersama sampin, berkain songket, dan berbaju kurung bersama selendang batik. Masyarakat dulu sering menjemput pasukan dikir barat, boria, dondang sayang, dan kumpulan qasidah apabila mengadakan majlis-majlis tertentu, termasuk ketika kenduri kahwin, majlis berkhatan, dan pada musim menuai padi.

Tapi sekarang, malu rasanya untuk aku nyatakan di sini. Nasi ulam sudah digantikan dengan burger dan pizza. Anak muda tak kira lelaki mahu pun perempuan, ke hulu ke hilir dengan seluar Jeans dan berbaju T-shirt ketat. Golongan elit macam aku ini pula akan demam kalau tak dapat hayun kayu golf selama seminggu. Kalau dengar radio, mesti pilih stesen radio yang banyak siar lagu rock. Klasik fm, sorry la. Baru-baru ini mak saudara aku adakan majlis kenduri kahwin anak perempuannya. Nak tau di mana? Di hotel tau. Siap dengan red carpet, kek berlilin, coklat Ferrero Rocher, gaun pengantin berambu-rambu, dan set persandingan ala Bollywood.

Jadi mana jati diri orang Melayu sekarang? Apa dia usaha yang sudah dilakukan untuk memulihkan dan mengembalikan semula jati diri tersebut? Yang menang akan terus menang. Jadi lebih baik kita teruskan apa yang ada sekarang daripada kita terpekik terlolong menyalak si lembu yang sedang nyenyak tidur kekenyangan. Kepada pejuang-pejuang bahasa Melayu, ini amaran keras daripada aku. Jangan lagi bercakap tentang jati diri orang Melayu, kerana orang Melayu sebenarnya sudah tidak ada lagi jati diri.

(Nota : Artikel ini ditulis berdasarkan kaedah “pembalikan minda”, iaitu satu kaedah penulisan yang pada zahirnya kelihatan menyokong sesuatu perkara, namun sebaliknya secara tersirat menentang perkara tersebut).

Tamat
29 Ogos 2008 / 27 Sya‘ban 1429