Antara artikel yang termuat dalam blog ini ialah :-

Patutkah Artis Wanita Dilarang Menyanyi, Bila Siti Nurhaliza Bertudung, Kenapa Mesti Glamor, Jika UMNO Mahu Memerintah Kelantan, Perlukah Sains dan Matematik Dalam Bahasa Melayu, Manusia Haiwan Eskapisme, Bila Poligami Dikomedikan, Kenapa Festival Filem Islam Menyepi, ... dll.

Monday, July 12, 2010

Bawa Ke Mahkamah Pesalah Saman Ekor

SAYA ingin merujuk kepada surat Pegawai Pencen dari Lembah Keramat dalam sebuah akhbar tabloid pada 27 Jun yang lalu yang mengadu tentang kenderaan beliau yang telah disenaraihitamkan oleh pihak polis dan JPJ. Menurut pegawai pencen yang malang tersebut, kenderaan beliau tersebut telah dikesan melakukan tiga kesalahan melebihi had laju, dan kerana itu beliau mempunyai tiga saman ekor yang masih belum dijelaskan.

Isunya sekarang ialah bukannya sama ada saman ekor tersebut telah pun diterima oleh si pengadu atau pun tidak, tetapi isu yang lebih utama adalah sama ada pihak polis dan JPJ mempunyai kuasa atau pun tidak untuk menyenaraihitamkan mana- mana pemilik kenderaan yang mempunyai saman ekor daripada membaharui cukai jalan kenderaan dan lesen memandu mereka. Dalam hal ini, prinsip yang selalu diguna-pakai ialah bahawa seseorang itu dianggap tidak bersalah selagi mahkamah belum mendapati beliau bersalah.

Katakanlah jika ada pesalah saman ekor yang telah menerima notis saman daripada pihak polis, tetapi ia tetap enggan membayar kompaun yang dikenakan kerana dia yakin bahawa dia tidak bersalah. Oleh itu, 'pesalah' tersebut menunggu notis hadir ke mahkamah untuk membolehkannya membela diri. Namun, setelah lama menunggu, akhirnya dia mendapati namanya telah disenaraihitamkan oleh pihak JPJ dan dia akhirnya terpaksa juga membayar saman tersebut kerana tidak mahu disaman akibat membawa kereta tanpa cukai jalan. Adilkah begitu?

Dalam hal ini, saya lihat semakin ramai pihak yang mempertikaikan tindakan polis dan JPJ tersebut, kerana bagi mereka pihak polis tidak boleh bertindak seolah-olah merekalah pendakwa raya dan merekalah juga hakim yang akan menjatuhkan hukuman. Jangan marah jika ada pihak menganggap tindakan pihak polis ini seumpama berniaga saman ekor tanpa lesen yang sah.

Justeru, saya ingin mencadangkan kepada pihak kerajaan agar bertindak segera menghadapkan pesalah-pesalah saman ekor ke mahkamah. Sekiranya mereka enggan hadir ke mahkamah dan pihak mahkamah mengeluarkan waran tangkap, barulah nama dan kenderaan mereka disenaraihitamkan. Itulah tindakan yang lebih adil kerana prinsip undang-undang juga ada menyatakan bahawa melepaskan sepuluh orang yang bersalah lebih baik daripada menjatuhkan hukuman ke atas seorang yang tidak bersalah.

No comments:

Post a Comment